5 Amalan Menyambut Bayi Baru Lahir : Antara Sunnah, Adat Dan Khurafat.

Sharing is caring!

Ibu bapa manalah yang tidak gembira apabila anak mereka dilahirkan. Kelahiran anak yang diamanahkan oleh Allah SWT itu merupakan simbol kasih sayang antara pasangan dan tanda kegembiraan hidup berkeluarga.

Namun, di sebalik kegembiraan dan kebahagian, ada pula tanggungjawab baru yang perlu dipikul oleh kedua-dua ibu dan bapa. Ada yang sudah berpengalaman menyambut kedatangan insan baru, tapi masih ramai sebenarnya yang keliru dengan amalan yang sering dibuat oleh masyarakat Melayu.

Loading...

Yang mana satu sunnah, yang mana satu adat dan yang mana satu khurafat? Kami kongsikan 5 amalan yang biasa dibuat dalam masyarakat Melayu selepas bayi dilahirkan:

#1 Menanam uri

Menurut Mufti Faraz Adam Al-Mahmudi, tubuh badan manusia ini bukanlah hak milik kita. Ia hanyalah pinjaman Allah SWT sementara kita berada di atas muka bumi. Sebagaimana jenazah seorang Muslim perlu ditanam, begitu jugalah uri dan tali pusat seorang bayi yang baru dilahirkan.

Cara menanam uri pula mudah sahaja. Dr. Danial menjelaskan uri hanya perlu dicuci bersih menggunakan air sahaja sebelum dibungkus ketat menggunakan plastik dan ditanam.

 

placenta tanam uri bayi jangan khurafat letak paku

Loading...

Malah, lebih menyedihkan apabila ada ibu bapa yang percaya bahawa menanam uri bersama pen, kalkulator, laptop dan kamus boleh membuatkan anak tersebut membesar menjadi orang yang bijak pandai.

#2 Membelah mulut

Masih wujud golongan Melayu yang percaya membelah mulut perlu dibuat menggunakan cincin emas yang direndam dalam air zamzam, potongan asam keping dan sebagainya. Sebenarnya upacara “belah mulut” ini adalah adat yang berasal dari kaum Hindu agar mendatangkan kepetahan, kebijaksanaan dan kebaikan kepada bayi.

Dalam Islam, sunnah Rasulullah hanyalah dengan mentahnikkan bayi tersebut dengan buah kurma. Jika tiada tamar (kurma biasa/kering), bolehlah menggunakan rutab (kurma yang masak ranum/basah).

Ada ulama yang berpendapat jika ketiadaan kurma, anda boleh bertahnik menggunakan manisan lain seperti madu. Namun, kami pernah kupaskan isu ini di mana kajian mendapati madu sebenarnya tidak boleh diberikan kepada bayi di bawah 12 bulan.

membelah mulut bayi

Bukanlah kami katakan jatuh hukum haram memberi madu, tapi jika ia boleh mendatangkan mudarat, sebaik-baiknya elakkanlah. Lagipun, kita nak buat perkara sunnah kan? Sunnah Rasulullah hanya guna buah kurma. Zaman sekarang ini rasanya tak sukar pun nak mencari buah kurma sehingga perlu diganti dengan madu atau manisan lain. Ada saja buah kurma dijual sepanjang tahun.

Menurut Ustaz Khalid Basalamah, cara bertahnik juga amat mudah. Ia boleh dilakukan oleh bapa bayi sendiri atau mana-mana orang yang soleh. Kunyah sedikit sahaja isi kurma sehingga hancur sebelum diambil secalit pada hujung jari untuk dilalukan ke lelangit mulut bayi tersebut.

 

Pastikan orang yang mentahnik itu membersihkan tangan, menggosok gigi dan berkumur terlebih dahulu sebelum mula ya.

#3 Mencukur jambul

Dalam satu wawancara bersama Utusan Malaysia, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz menyatakan amalan mencukur jambul (bahagian depan rambut sahaja) dan menggunakan kelapa semasa upacara tersebut berlangsung adalah amalan bidaah dan khurafat kerana meniru ritual agama Hindu.

cukur jambul kelapa bunga rampai

Menurutnya lagi, Islam menggalakkan rambut bayi dicukur sehingga botak untuk menyingkirkan segala kekotoran yang melekat di kepala bayi semasa dalam kandungan dan agar rambut baru dapat tumbuh dengan lebih sihat.

Rambut yang telah dicukur itu kemudian disedekahkan kepada fakir miskin dengan cara menimbang dan menyamakan berat rambut dengan nilai perak atau emas.

bayi cukur botak cukur jambul

Sebagai contoh, berat rambut adalah 1 gram manakala nilai emas (1 gram) pada hari tersebut adalah RM180. Jadi, wang RM180 itu perlu dijadikan sedekah kepada fakir miskin.

Ustaz Azhar Idrus pula berkata mengadakan majlis cukur jambul sekadar ‘cukup syarat’ tidak menjadi satu kesalahan. Namun, ibu bapa perlu memastikan rambut bayi masih dicukur botak setelah majlis selesai. Selain itu, sunnah mencukur rambut ini terpakai untuk kedua-dua jantina bayi iaitu lelaki dan perempuan dan paling afdal dibuat pada hari ke-7 selepas kelahiran.

 

#4 Berendoi

Ibadah aqiqah disunatkan kepada setiap bayi yang baru dilahirkan. Sunnah Rasulullah menyatakan ia paling elok dibuat semasa hari ke-7 kelahiran bayi. Namun hukumnya sunat muakkad selagi anak itu masih belum baligh dan harus apabila anak sudah baligh.

Daripada Samurah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya.” (Riwayat Abu Daud : 1522)

Tertib sunat yang terbaik adalah menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan 1 ekor kambing bagi anak perempuan. Walaupun begitu, Mufti WP menyatakan ia memadai sekiranya dapat menyembelih 1 ekor kambing sahaja bagi anak lelaki.

kambing aqiqah kenduri besar majlis berendoi sunnah atau bidaah

Daging kambing yang disembelih bolehlah dimasak sebagai jamuan atau diagih-agihkan.

Walau bagaimanapun, kecenderungan masyarakat zaman kini dalam mengadakan majlis akikah berserta adat berendoi secara besar-besaran bagaikan kenduri kahwin mempunyai pandangan yang berbeza-beza.

Menurut Ustaz Rohidzir Rais, adat berendoi menggunakan buaian yang dihias cantik sambil didendangkan marhaban dan berzanji merupakan adat Melayu yang sudah lama dipraktikkan. Amalan ini tidaklah bercanggah dengan ajaran Islam. Walaupun ia bukan berasal daripada Rasulullah SAW, ia dibolehkan selagi tidak berlebih-lebihan. Namun, lebih afdal sekiranya ia digantikan dengan amalan lain seperti bacaan Al-Quran atau berzikir untuk mengelakkan khilaf.

pelamin buan berendoi majlis aqiqah sunnah khurafat adat

Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz pula menegaskan bahawa majlis keraian itu sekiranya diadakan secara besar-besaran, niatnya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk dan mempamerkan unsur kemewahan. Niat seseorang haruslah benar-benar ikhlas kerana Allah SWT. Dikhuatiri kalau tersilap langkah, boleh bertukar menjadi riak. Daripada elok-elok mengejar pahala sunat, tiba-tiba mendapat dosa pula.

#5 Menjauhi “gangguan”

Ramai ibu bapa yang amat takut dengan syaitan dan jin yang boleh mengganggu anak kecil. Ada yang terlalu taksub sehingga percaya dengan tangkal atau azimat seperti meletakkan paku, gunting dan sebagainya di bawah bantal bayi atau meletakkan buku surah Yaasin berhampiran dengan bayi dengan niat memberi perlindungan daripada gangguan.

benang hitam bayi azimat halau jin iblis syaitan

Malah, lebih menyedihkan apabila segelintir masyarakat masih lagi mempercayai amalan khurafat seperti memakaikan benang hitam/kuning yang telah dibacakan ayat jampi untuk menghalau jin.

Jumhur ulama mengatakan haram mempercayai atau menggunakan tangkal dan azimat. Umat Islam ditegah melakukannya kerana dikhuatiri boleh jatuh syirik.

Menurut Ustaz Azhar Idrus, sememangnya wujud Ummu Sibyaan iaitu iblis yang suka mengganggu anak kecil. Tetapi kaedah yang terbaik untuk mengelakkan gangguan iblis ini adalah dengan menutup semua pintu dan tingkap ketika hampir waktu Maghrib.

Sekiranya anak menangis tidak henti-henti kerana dipercayai terkena gangguan syaitan, anda bolehlah bacakan ayat Kursi dan tiga Qul (al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Naas), ditiup pada kepala bayi sambil berkata “Wahai Ummu Sibyaan, keluar dan jangan ganggu anak aku.” Kemudian, biarkan anak tidur dalam keadaan meniarap.

Kami berharap agar artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa yang baru menimang cahaya mata.

Perlu diingatkan, kebanyakan amalan semasa menyambut kelahiran bayi adalah sunat dilakukan. Tidak wajib bagi ibu bapa untuk membuat akikah, bertahnik dan mencukur rambut. Janganlah kita terlalu sibuk mengejar perkara yang sunat sehingga berlaku pembaziran. Malah, lebih teruk lagi sehingga tidak sedar yang kita sebenarnya telah melakukan perkara khurafat dan bidaah.

Semoga bermanfaat.

Rujukan

1. Darul Fiqh

2. Utusan Malaysia

3. Mufti Wilayah Persekutuan

4. Ummah

Sharing is caring!

Loading...