Cerita Untuk Orang Pantai Timur, Kisah Seram LPT2 Dan Hentian Ajil…

Sharing is caring!

Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menyimpan pelbagai kisah mistik dan misterinya yang tersendiri. Di sini, kisahseram.com akan berkongsi pengalaman seram yang dialami oleh seorang pengguna LPT2. Pengguna tersebut yang bernama Ahmad Aziz Jaafar yang ketika itu berusia 37 tahun menceritakan bahawa dia pernah mengalami gangguan ketika menggunakan LPT2 tetapi beliau tidak mengendahkannya. Malah, insiden seram juga turut berlaku terhadap rakannya sendiri di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ajil ketika awal pembukaan lebuh raya berkenaan.

Pengalaman yang boleh dikatakan seram itu berlaku ketika Ahmad Aziz Jaafar dalam perjalanan untuk mengambil seorang kawan yang keretanya rosak di LPT2. Dalam perjalanan, beliau diganggu dengan bunyi siulan yang menakutkan. Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi dan ketika sedang asyik memandu tiba-tiba beliau terdengar siulan dari tempat duduk belakang yang membuatkan beliau seriau dan meremang satu badan. Menurut Ahmad Aziz, bagi menghilangkan bunyi itu, dia memasang radio dengan kuat dan membaca ayat-ayat suci al-Quran di dalam hatinya.

Setibanya di kawasan yang terang, Ahmad Aziz memberhentikan keretanya dan memeriksa di bahagian belakang tetapi tiada apa-apa pun di situ. Ahmad Aziz turut menceritakan satu lagi insiden yang menyeramkan iaitu ketika dia bersama seorang rakan berhenti di R&R Ajil. Menurutnya, ketika itu rakannya menaiki kenderaan bersama-sama dengan isterinya, manakala dia memandu bersendirian.

Loading...

“Ketika berhenti seketika di R&R Ajil, saya nampak isteri kawan saya turun untuk ke tandas dan setelah selesai dia masuk semula ke dalam kenderaan dan kami terus menyambung perjalanan ke rumah masing-masing”, kata Ahmad Aziz. Apabila tiba di rumah rakan di Jerangau Barat, selepas rakannya keluar dari kereta, namun isterinya tetap tidak berganjak dari tempat duduknya di dalam kereta.

Bagaimanapun, dia mendapat panggilan telefon daripada isterinya dan walaupun agak pelik dia tetap menjawab panggilan tersebut dan alangkah terkejutnya beliau apabila mengetahui si isteri sebenarnya masih berada di R&R Ajil. Apabila beliau melihat semula ke dalam kereta, makhluk yang menyerupai isteri sudah tiada dan barulah dia menyedari bahawa yang berada di sebelahnya itu bukanlah isteri beliau tetapi makhluk halus yang menyerupai isterinya.

Ahmad Aziz berkata, cerita-cerita mistik memang banyak diperkatakan di LPT2 termasuk ada yang turut mendakwa bahawa mereka nampak lembaga hitam yang besar di atas jejambat. Menurutnya, memang perkara mistik tidak boleh diketepikan dari kehidupan manusia tetapi dia percaya kebanyakan kes kemalangan maut yang berlaku di lebuhraya tersebut adalah disebabkan kecuaian sendiri. Sebagai pengguna kita perlu lebih berhati-hati dan memandu mengikut had laju supaya tidak berlakunya kemalangan yang boleh meragut nyawa.

Seorang lagi pengguna LPT2, Shamsudian Salleh, yang bekerja sebagai seorang penarik kereta atau “Call Man”, berkata, kerjanya sebagai tukang tarik kereta yang mengalami kerosakan atau yang terlibat dalam kemalangan membuatkannya sentiasa berada di LPT2. Shamsudian berkata bahawa terdapat pelbagai faktor sebenarnya yang boleh menyumbang kepada kemalangan. Kisah-kisah mistik yang hangat diperkatakan oleh orang ramai juga bukanlah perkara asing baginya walaupun tidak pernah mengalaminya sendiri.

Menurut Shamsudian Salleh, paling banyak tiga kes kemalangan yang berlaku dalam sehari tetapi kadang-kadang ada juga dalam seminggu tiada kemalangan. “Antara kisah makhluk halus yang popular di kawasan ini ialah kehadiran lembaga besar di sempadan Ajil dan Bukit Besi. Satu lagi gangguan yang selalu diperkatakan ialah tentang kehadiran mahkluk berambut panjang dan berpakaian serba putih di sekitar Jerangau dan laluan itu memang kerap berlaku kemalangan.

Loading...

Shamsudian turut menceritakan bahawa ada juga di kalangan rakannya sendiri yang mengalami kemalangan selepas terlihat lembaga hitam melintas jalan. “Bagaimanapun, saya percaya kemalangan yang berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk kehadiran binatang peliharaan seperti lembu dan binatang liar seperti badak, beruang dan tapir,” ujar Shamsudian Salleh.

Walaupun laporan pihak berkuasa telah menyatakan punca utama berlakunya kemalangan di LPT2 adalah disebabkan kecuaian pengguna, namun isu gangguan makhluk halus tetap menjadi perbualan hangat pengguna LPT2 serta penduduk di sekitar kawasan tersebut. Malah, ada yang mempercayai unsur-unsur mistik turut menjadi penyumbang kepada kemalangan yang berlaku di lebuh raya tersebut memandangkan satu demi satu kemalangan maut terus berlaku apatah lagi tragedi berdarah itu terjadi di lokasi kilometer yang hampir sama.

Kemalangan tragis yang meragut lima nyawa termasuk empat daripadanya rentung di Kilometer (KM) 386 pada 24 Mei 2015 yang lalu begitu meninggalkan kesan di hati. Selain itu, insiden maut turut melibatkan seorang peronda LPT, Razali Ishak, 44, pada 27 Jun 2014 di KM 415.1. Kedua-dua kes tersebut turut menjadi viral di laman sosial berikutan adanya ‘seseorang’ dalam sekeping gambar diambil orang awam di lokasi kejadian sehingga ada yang mengaitkan kejadian kemalangan maut yang melibatkan peronda LPT itu mempunyai kaitan dengan unsur mistik.

Bagi seorang warga emas dari Kampung Peroh, Che Nik Che Wil, cerita tentang adanya sesuatu yang melintas sehingga dikatakan menjadi punca pemandu terbabas antara kisah yang sering didengarinya. Lokasi pemandu terbabas rata-ratanya berlaku di kawasan yang hampir sama termasuk di satu lokasi dipanggil Bukit Belah. “Pakcik tidak pernah alaminya tetapi sering dengar cerita sama beberapa kali iaitu ada benda melintas lalu menyebabkan pemandu terbabas atau kemalangan,” kata Che Nik Che Wil.

Selain itu, Che Nik Che Wil turut menceritakan bahawa di kawasan itu dahulu ada kubur lama tetapi telah dipindahkan sebelum projek pembinaan LPT2 dimulakan. “Ketika kerja-kerja pembinaan dilakukan dahulu juga pakcik dengar cerita ada beberapa orang pekerja pembinaan yang meninggal dunia kerana tragedi termasuk kenderaan terbalik”, katanya. Malah, sewaktu lebuh raya belum dibuka ia telah meragut nyawa seorang penunggang motosikal.

“Daripada cerita yang didengar, penunggang motosikal itu berasal daripada Felda Jerangau Barat. Mayat penunggang motosikal itu hanya dijumpai pada sebelah petang oleh seorang penternak lembu yang kebetulan melalui kawasan berkenaan. Ketika itu darah yang mengalir telah pun kering. Pakcik difahamkan dia terbabas,” ujarnya.

Sumber: Kisah Seram

Sharing is caring!

Loading...